Skip to main content

BICARA ALUMNI BERSAMA KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMARAK INSPIRASI BUAT MAHASISWA USM

USM, PULAU PINANG, 1 November 2025 – Program Bicara Alumni bersama Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi platform bermakna yang menghubungkan kembali alumni dengan universiti di samping memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti dunia pekerjaan, kemahiran insaniah dan hala tuju selepas tamat pengajian.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) USM. Majlis yang menampilkan YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai tetamu kehormat itu berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) kelmarin.

Majlis pembukaan disempurnakan oleh Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, yang menzahirkan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri atas kesudian hadir meskipun dalam kesibukan urusan rasmi. Beliau menegaskan bahawa kehadiran tokoh-tokoh alumni berjaya menyemarakkan semangat mahasiswa untuk mencontohi kejayaan mereka sebagai panduan membina masa depan.

Sesi forum menampilkan tiga figura alumni berpengaruh, iaitu YB Puan Syerleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Bukit Bendera (alumni 2008), Encik Mohd Faiz Azmi, Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan, Perbadanan Pulau Pinang (alumni 2010), Encik Ahmad Fedtri Yahya, pengacara dan penulis lirik terkenal (alumni 2003) yang bertindak sebagai moderator serta Saudara Muhammad Aliff Aqharni Yuzaidi, YDP Gabungan Anak Pulau Pinang Universiti Sains Malaysia

Dalam perkongsian beliau, YAB Tuan Chow Kon Yeow mengakui tidak pernah menyangka akan bergiat dalam dunia politik, memandangkan beliau seorang yang pendiam semasa bergelar pelajar. Beliau menegaskan bahawa kejayaan sering hadir dalam bentuk peluang yang tidak dijangka, asalkan seseorang berani mencuba dan berpegang pada nilai integriti.

Sementara itu, YB Puan Syerleena Abdul Rashid menyifatkan zaman universiti sebagai fasa penting dalam membentuk jati diri dan menyeru mahasiswa agar aktif menyertai aktiviti kampus. Bagi Encik Mohd Faiz Azmi, pengalaman sebagai pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) USM mengajarnya tentang disiplin, kesungguhan dan keazaman untuk berjaya.

Program ini bukan sahaja mempertemukan alumni dengan warga kampus, malah membina semangat kekitaan dan kebanggaan sebagai sebahagian daripada keluarga besar USM. Semoga kehadiran para alumni dalam program ini dapat memberi inspirasi dan dorongan kepada mahasiswa untuk melangkah yakin ke hadapan, membina masa depan dengan penuh integriti, ilmu dan semangat kejayaan sebagai anak USM.