SIRIH PULANG KE GANGGANG : BERSAMA TYT YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA, ALUMNI USM 1984-1986 KUKUHKAN JARINGAN DALAM PROGRAM REUNION PERDANA
USM PULAU PINANG, 13 Disember 2025 :- Setiap alumni membawa sebuah epik kejayaan yang terus terukir. Lebih dari sekadar lulusan, mereka adalah cahaya utusan masa depan bagi almamater yang tercinta ini.
Ibarat Sirih Pulang ke Ganggang' yang sarat makna, satu perhimpunan penuh nostalgia yang diadakan di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni USM petang tadi telah berjaya menghimpunkan seramai 54 jiwa alumni pada satu majlis Makan Tengah Hari Perdana, Program Reunion Jom Pi USM : Batch 1984-1986 dan turut dihadiri bersama oleh Yang Amat Berbahagia Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Program anjuran alumni Batch 1984-1986 dengan kerjasama Persatuan Alumni USM Persatuan Alumni USM , Pusat Pembangunan Alumni BHEPA Alumni Universiti Sains Malaysia dan Perkumpulan Anak-anak Melaka (PURNAMA) turut dihadiri bersama oleh Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni mewakili Naib Canselor USM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor, Pengerusi Penganjur, Reunion Alumni Jom Pi USM Batch 1984-1986, Encik Mustaqin Alpi, Timbalan Presiden Persatuan Alumni USM, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Dekan Pusat Pengajian Jarak Jauh, Prof. Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, Penasihat Perkumpulan Anak-anak Melaka (PURNAMA), Saudari Noureysha Mudzaffar, YDP PURNAMA, pegawai-pegawai utama Kerajaan Negeri Melaka, pegawai-pegawai utama universiti dan barisan ahli jawatankuasa majlis.
Tun Haji Mohd Ali dalam ucapannya menzahirkan perasaan gembira kerana dapat berjumpa kembali rakan-rakan alumni dan suasana kampus USM yang telah lama ditinggalkan.
“ Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang telah menganjurkan majlis ini. Saya dapat lihat ramai rakan-rakan seperjuangan dapat hadir ke majlis ini dan berharap lebih banyak program sebegini dapat diadakan bagi menggalakkan para alumni kembali ke kampus dan berbakti kepada universiti dengan cara sendiri”, ujarnya lagi.
Wan Ahmad Jaafar dalam ucapannya turut mengalu-alukan kehadiran TYT Tun yang juga merupakan alumni USM kerana sudi meluangkan masa untuk turut bersama dalam majlis yang penuh nostalgia ini.
“Sesungguhnya kehadiran TYT Tun bukan sahaja dapat memeriahkan majlis tetapi ianya menjadi simbol hubungan istimewa antara USM dan alumni yang sentiasa mengangkat nama universiti ke persada yang lebih tinggi”, tambahnya lagi.
Sesi pagi turut menyaksikan para alumni USM dibawa mengelilingi sekitar kawasan kampus yang tentunya telah banyak berubah. Semoga dengan adanya program sebegini, diharapkan agar ikatan persahabatan terus kekal dan semangat jiwa USM dapat terus disemai serta peluang kerjasama dalam apa jua bentuk perkongsian ilmu, peluang latihan, penyelidikan atau inisiatif dapat disalurkan kepada generasi pelapis dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan lebih berdaya saing.