USM OPPSTAR KUKUHKAN JARINGAN STRATEGIK, TEROKA PELUANG BARU PERKASA TEKNOLOGI

BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 24 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat memperkukuhkan kolaborasinya dengan pemain-pemain industri khususnya dalam memanfaatkan teknologi semasa ke arah memacu pembangunan penyelidikan masa hadapan.

Hasrat itu disuarakan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan ketika membuat lawatan kerja ke Oppstar Technology, salah sebuah syarikat diterajui kepakaran tempatan yang mula melebarkan sayap ke arena global.

Oppstar adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan rekabentuk IC (integrated circuit design) premier yang memulakan operasi mereka pada 2014 dengan hanya diterajui dua orang pakar IT, namun kini berkembang sehingga mempunyai lebih dari 180 pekerja.

Paling membanggakan, syarikat berkenaan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga alumni USM, Ng Meng Thai.

Faisal Rafiq berkata, kerjasama strategik seumpama itu amat signifikan khususnya untuk USM memperkasa kursus-kursus yang ditawarkan agar ia terus berdaya saing dalam cabaran dan kepesatan teknologi hari ini.

“Kami amat teruja dengan komitmen dan kemampuan Oppstar menempatkan diri ke arena global dan berhasrat untuk terus bekerjasama dengan lebih erat bagi pembangunan bidang berkaitan yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh kedua-dua pihak,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Oppstar, Cheah Hun Wah pula berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama rakan akademia untuk membangun bersama Oppstar dan syarikat berkenaan sememangnya membuka peluang kepada kepakaran tempatan.

“Walaupun Oppstar mempunyai pelbagai rangkaian antarabangsa, namun kami sentiasa mengutamakan bakat tempatan dan komited untuk melahirkan genarasi pakar teknologi kelahiran negara yang setanding antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan dua hala yang menjurus kepada isu-isu berkaitan perkembangan semasa bidang rekabentuk IC, peluang penyelidikan, pemerkasaan graduan universiti dan sebagainya di Pusat Inkubasi Universiti (I2U) di sini baru-baru ini.

Diskusi itu juga turut membuka peluang untuk delegasi USM mengetahui lebih lanjut berhubung operasi Oppstar dan peluang yang dijana untuk dimanfaatkan oleh semua pihak yang berpotensi termasuk Universiti.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Dr. Yeoh Fei Yee dan ketua-ketua jabatan USM yang berkenaan.

Selain Hun Wah, Oppstar turut diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya (COO), Tan Chun Chiat.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia