TEROKAI PELUANG BAHARU DEMI MENDEPANI MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 22 Julai 2020 – Menerajui kejayaan di masa hadapan merupakan cabaran yang semakin meruncing dalam situasi dunia yang melibatkan pelbagai halangan, khususnya situasi pandemik yang terkesan di seluruh dunia.
Itulah ungkapan yang menjadi titik perubahan bagi Encik Nor Azim Hakim Bin Norazmi, graduan Universiti Sains Malaysia jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan tahun 2010. Bercerita mengenai pengalaman beliau yang bergiat aktif melalui program anjuran Universiti, yang banyak membantu beliau mempersiapkan diri ke arah ke alam pekerjaan yang jauh lebih mencabar. Hasilnya beliau menjadi pemangkin untuk berjaya dan kini, beliau telah memegang jawatan Pengurus Dasar & Piawaian, Urusan Global & Kelestarian di Air Asia sejak Mei 2018.
‘Weathering The New Storm: Employability in The New Norm’, bengkel anjuran Pusat Pembangunan HEBAT menampilkan Encik Nor Azim sebagai penceramah untuk berkongsi pengalaman beliau menerokai alam pekerjaan yang berlainan bidang. Berpegang kepada konsep berani mencuba dan tidak mudah kalah menjadi tonggak utama dalam menjadikan diri beliau lebih berdaya saing dalam era yang serba mencabar kini.
Beliau menegaskan lagi, bermulanya dari zaman belajar sehingga bergraduasi, persiapan diri perlu lebih jitu. Penerokaan ilmu dalam menyediakan resume yang sempurna, tatacara komunikasi dan etika pakaian ketika berhadapan dengan sesi temu duga pekerjaan adalah amat penting dalam untuk bersaing mendapat pekerjaan di sesebuah syarikat.
Kesemua elemen ini sangat berperanan penting untuk menjadikan seseorang alumni itu berkualiti dan berkaliber di zaman yang penuh dengan cabaran. Menurut beliau lagi, kita harus berani meneroka ilmu baharu agar lebih dinamik, inovatif serta kreatif.
Teks : Mohamad Syukran Abdul Rahman @ Omar Foto : Pusat Pembangunan HEBAT