PINTU REZEKI LUAS BAGI YANG BERUSAHA KERAS

Cabaran untuk menyambung pengajian sambil menunaikan tanggungjawab lain terutamanya kerjaya dan keluarga amatlah sukar. Hanya yang cekal, tabah, sabar dan mampu menyerap segala tekanan akan berjaya menggapai impian tersebut.  

Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) yang ditawarkan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) telah banyak membantu dalam membuka pintu-pintu rezeki seluas-luasnya kepada para pelajar yang berjihad dalam menuntut ilmu diikuti dengan tanggungjawab kepada kerjaya dan keluarga.  

Menurut Ramhanizan Jahamin,38 yang mesra disapa sebagai Hani, RPJJ telah membantu beliau untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi serta membantu dalam meningkatkan pendapatan untuk keluarga.  

“Saya bergraduasi dalam bidang Pengurusan pada Nov 2017 dan berpeluang untuk memohon jawatan Penerbit Rancangan yang memerlukan calon mempunyai Ijazah dan saya ditakdirkan untuk dapat jawatan tersebut setahun selepas bergraduasi iaitu pada Oktober 2018,” kata Ramhanizan yang berasal dari Ranau, Sabah.  

“Itulah rezeki yang tidak dijangka selepas berhempas pulas menamatkan pengajian di USM selama empat tahun,” ujar Penerbit Rancangan di RTM Angkasapuri, Kuala Lumpur.  

Pengorbanan beliau bukan setakat itu, atas tuntutan kerja dan juga jawatan tersebut Hani harus berjauhan lagi dengan keluarga kerana ditugaskan di Kuala Lumpur dan meninggalkan tiga orang anaknya bersama suami di Kota Kinabalu.  

“Tiada istilah terlambat dalam menuntut ilmu dan jangan pernah jadikan usia sebagai penghalang dalam mencapai cita-cita,” nasihat Hani kepada yang ingin menyambung pengajian.  

Berlainan pula dengan Hazrizah Sari, 43, yang menyambung pengajian RPJJ USM bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang Pengurusan dan menggunakan dalam lapangan kerjaya beliau di MITI Sabah.   

“Bidang pengurusan adalah sangat dekat dengan hati saya dalam membantu para peniaga kecil di Sabah dan ilmu tersebut saya aplikasikan dalam kerjaya saya,” katanya.  

“Saya juga tidak menyangka yang kini saya berpeluang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” tambah Hazrizah yang juga bergraduasi pada November 2017. 

“Rebutlah peluang untuk melanjutkan pelajaran tanpa mengira usia dan bidang. Pelajarilah bidang yang berlainan bagi memperkayakan ilmu yang dapat diterapkan di dalam tugasan harian yang boleh digunakan untuk membantu komuniti setempat. Sesungguhnya ilmu itu memuliakan dan meningkatkan taraf hidup kita, keluarga dan masyarakat,” tambah Hazrizah.  

Kedua-dua alumni RPJJ USM ini ditemui semasa sesi Networking Pusat Pembangunan Alumni (PPA) USM dan PPPJJ bersama alumni USM yang berkhidmat di UMS serta alumni PPPJJ di Pusat Wilayah Kota Kinabalu.  

Sesi networking ini bertujuan untuk menjalin hubungan strategik yang berterusan antara Alumni USM dan perkongsian informasi terkini serta pengemaskinian maklumat alumni.  

Teks: Nor Rafizah Md Zain  
Foto: Nor Rafizah Md Zain/ Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal dan Syahnaz Riza Sukor 
https://www.facebook.com/School.of.Distance.Education.Official

 

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia