MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN ALUMNI USM (PAUSM) KALI KE-24
26 September 2020, Universiti Sains Malaysia – Persatuan Alumni USM (PAUSM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, yang dihadiri oleh para alumni dari Pulau Pinang, Perak, Selangor dan lain-lain negeri di Semenanjung. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor HEPA Profesor Dr. Aldrin Abdullah selaku alumni HBP ’94.
Sementara itu dalam ucapan perasmian yang disampaikan dalam mesyuarat tersebut beliau menyatakan mengenai kejayaan yang dicapai oleh para alumni dalam pelbagai bidang serta jaringan antara Pusat Pembangunan Alumni (PPA), USM dan PAUSM sepanjang tahun 2019. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Eksekutif PAUSM dengan menganjurkan mesyuarat di dalam situasi semasa ini.
Dalam mesyuarat ini juga Presiden PAUSM, Tuan Haji Aziz Ismaon, alumni Kejuruteraan Komputer & Komunikasi ’90 mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif (JKE) serta semua ahli yang hadir ke mesyuarat AGM ke-24. Beliau berkongsi mengenai program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2019 serta perancangan PAUSM pada masa akan datang.
Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat agung tersebut adalah pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat PAUSM, laporan tahunan PAUSM 2019 serta laporan kewangan PAUSM.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat agung tersebut adalah cadangan pindaan perlembagaan serta aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun 2019 serta perancangan untuk memperluaskan jaringan alumni melalui program yang dapat memberi manfaat kepada alumni dan masyarakat. Melalui mesyuarat ini juga dibangkitkan mengenai isu penubuhan Persatuan dan cawangan di setiap negeri.
Turut hadir ke Mesyuarat Agung PAUSM tersebut adalah mantan Pengarah Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni dan mantan Presiden PAUSM, Profesor Madya Mohamed Talhah Idrus (Alumni ’74) dan Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni Puan Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal (Alumni ’07).
Teks: Syahnaz Riza Sukor/ Foto: Facebook Persatuan Alumni USM(PAUSM)