KEJOHANAN GOLF JELAJAH UTARA ALUMNI USM 2022
SUNGAI PETANI, 22 Feb 2022- Pelbagai aktiviti dirancang sejak negara memberikan kelonggaran untuk aktiviti sosial diadakan dengan pematuhan SOP. Tidak ketinggalan, sekumpulan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Kejohanan Golf Jelajah Utara pada 21 dan 22 Februari 2022 dan dihadiri oleh lebih 100 alumni dari pelbagai tahun graduasi.
Kejohanan golf ini dianjurkan di Penang Golf Resort, Bertam Pulau Pinang dan Cinta Sayang Golf & Country Club Sungai Petani, Kedah bertujuan untuk jaringan serta ramah mesra bekas-bekas pelajar setelah sekian lama tidak menganjurkan sebarang aktiviti sejak negara melanda pandemic COVID-19.
“Program ini merupakan acara tahunan bagi merapatkan hubungan sesama alumni termasuk membina visibiliti program alumni USM,” kata Haji Husin Yahaya (Sarjana Muda Sains, 1984) yang juga merupakan AJK penganjur bagi program tersebut.
“Pada masa yang sama, ia juga sebagai platform kepada para alumni untuk bersantai secara sihat di samping berkumpul bersama dan mengimbau kenangan semasa belajar di USM dulu.
“Kejohanan golf pada kali ini telah dipengerusikan oleh Dato’ Tajul Urus Mat Zain (Sarjana Muda Sastera , 1980) dan dibantu oleh Dato’ Ali Yahaya (Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, 1983) serta beberapa alumni lain dari Zon Utara.
“Perjumpaan ini bertujuan bagi memperkukuh lagi hubungan erat semua peminat golf dalam kalangan alumni USM serta berkumpul semula semenjak pandemik COVID-19 melanda negara kita pada tahun 2020,” tambah Husin.
Di samping itu, Husin berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa agar jalinan persahabatan dikekalkan dan terus aktif bagi mengekalkan gaya hidup sihat.
Turut hadir adalah Mantan Menteri Besar Terengganu iaitu Dato' Seri Ahmad Said (Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, 1982) dan isteri serta beberapa alumni tersohor negara.
Teks: Syahnaz Riza Sukor & Mohamad Syukran Abdul Rahman @ Omar
Foto: Haji Husin Yahaya
Suntingan: Nor Rafizah Haji Md Zain