ALUMNI USM PERLU BERJASA DAN JADI CONTOH TELADAN, TITAH DYMM TUANKU CANSELOR
ARAU, PERLIS, 29 Mac 2022 - Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan Alumni Universiti perlu dibawa kembali membantu universiti dalam banyak perkara.
“Antaranya bersama-sama memajukan universiti dan menjadi role model kepada mahasiswa sedia ada dan cabaran utama universiti ialah untuk mendekati mereka ini dan pada masa sama melahirkan lebih ramai alumni hebat seperti ini.
“Sejak di universiti mereka tentunya melalui pengalaman yang bermakna untuk mengingati dan kembali kepada kita,” titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Konvokesyen Ke-59 USM yang diadakan di Bilik Menghadap Hijau, Istana Arau, di sini pada pagi ini.
Dalam Upacara yang sama, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan kepada Yang Di-pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Rustam.
Ini merupakan kali kedua upacara konvokesyen USM dilangsungkan di Istana Arau tempat DYMM Raja Perlis bersemayam selepas kali pertama dilakukan pada Disember yang lalu ketika Upacara Konvokesyen ke-59 USM.
Menurut Baginda lagi, dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran besar dunia digital sekarang ini, universiti perlu mendidik serta membentuk siswazahnya untuk sayangkan universiti.
“Ini adalah satu sumber utama bakat yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” titah baginda.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap USM terus cemerlang dan terbilang dalam melahirkan siswazah yang berilmu, berakal budi yang tinggi dan berintegriti dalam memimpin masyarakat dan negara.
“Alumni USM perlu menjadi contoh untuk diikuti dan mampu melakukan perubahan dalam masyarakat di mana sahaja berada,” titah baginda lagi.
Turut berangkat ke upacara ini adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man; EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis; Speaker, Dewan Undangan Negeri Perlis, Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan Bahari; Pro-Pro Canselor USM, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Pro-Canselor; Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ M. Jegathesan; dan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Zulkefli A.Hassan; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM, Yang Berbahagia Profesor Dato. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
Upacara Konvokesyen Ke-59 USM bermula pada hari ini (sidang pertama) di Istana Arau, Perlis, diikuti dengan sidang ke-2 yang akan dilangsungkan pada 21 Mei 2022 hingga sidang ke-12 pada 31 Mei 2022 (11 hari berturut-turut, setiap hari satu sidang) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohd Fairus Md Isa/Ebrahim Abdul Manan
Sumber : www.usm.my