TYT MELAKA JUNJUNG KASIH KURNIAAN IJAZAH KEHORMAT, BUKA LEMBARAN BAHARU KERJASAMA MELAKA-USM

tuanku syed putra 2

 

ARAU, PERLIS, 29 Mac 2022 - Patik ingin mengambil kesempatan ini menjunjung kasih dan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Canselor USM kerana telah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan kepada patik.

Demikian merupakan ucapan balas Yang Di-pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Rustam ketika Upacara Konvokesyen USM Sidang 1 di Istana Arau, Perlis yang telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan dalam sesi itu.

Dalam sesi ini, beliau telah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan daripada Tuanku Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Menurut Tun, ini merupakan suatu penghormatan yang akan dikenang di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan dan ini jelas terserlah dengan dedikasi semua yang teribat untuk menjadikan universiti ini sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang unggul di malaysia dan juga di rantau amnya.

“Jelas bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan merupakan pemboleh kritikal yang penting untuk melahirkan modal insan berkemahiran untuk pertumbuhan ekonomi serta berpendapatan yang lebih tinggi.

“Berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan, ia lebih bermatlamat untuk membentuk insan holistik yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan,” jelas Tun.

Tun juga gembira mengetahui bahawa USM menjunjung nilai terasnya sendiri dalam perlembagaannya dan meletakkan nilai teras ini sebagai tonggak ke arah memupuk membangunkan graduannya dan tumpuan holistik terhadap pendidikan ini boleh memacu malaysia ke arah sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi, malah boleh mencapai status sebuah negara maju.

“Usaha ini dirangka untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan dan berkebolehan, memiliki taraf moral yang tinggi dan bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai tahap kesejahteraan diri yang tinggi,” tambahnya.

Tun turut mengimbau kembali kenangan beliau pada tahun 1979, ketika telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran kursus ijazah luar kampus atau Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dalam jurusan ekonomi pembangunan di USM, Pulau Pinang dan akhirnya selepas 5 tahun, beliau berjaya bergelar graduan ijazah sarjana muda kemasyarakatan (pembangunan ekonomi) pada tahun 1984.

“Selaku alumni dalam bidang sains kemasyarakatan, khususnya disiplin ekonomi, banyak yang telah patik pelajari dan ianya menjadi asas kepada patik dalam menelusuri kehidupan sebagai seorang pentadbir yang berpengetahuan dan kompeten dan seterusnya mentadbir dengan berkesan.

“Patik sentiasa mengingati ilmu yang diperolehi daripada beberapa pensyarah patik di semua peringkat pengajian patik sehingga patik mampu menempuh pelbagai cabaran dalam corak pentadbiran dan kepimpinan patik,” ujarnya.

Tun juga akan cuba membina jaringan Negeri Melaka dengan USM dalam pelbagai bidang agar kedua-dua pihak dapat terus menempah kejayaan dalam bidang ekonomi pembangunan dan lain-lain bidang yang bersesuaian.

“Sewajarnya khidmat kepakaran daripada USM dapat membantu melonjakkan lagi pembangunan negeri Melaka secara menyeluruh dan di masa yang sama, Negeri Melaka akan sentiasa menyokong kepada apa jua yang diperlukan baik dari aspek sokongan penyelidikan, pembangunan dan jaringan kerja. kerjasama dua hala yang dapat meningkatkan pembangunan kedua-dua pihak seharusnya dirancang dan disasarkan secara bersama, katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau akan cuba menyokong kepada pembangunan USM, khususnya dalam memastikan pembangunan pelajar dapat digiatkan lagi di peringkat tertinggi di mana beliau percaya setiap pelajar mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk terus maju ke hadapan.

Beliau turut berharap agar dapat terus berkongsi pengalaman untuk para pelajar memahami segala jerit payah sebelum mencapai ke tahap sedia ada dan semoga perkongsian ini akan terus menjadi pembakar semangat kepada para pelajar USM untuk terus bangkit menjadi pelajar yang terbilang dalam segala aspek, terutamanya kesediaan dalam mendepani cabaran semasa, mengaplikasi ilmu yang dipelajari ke dalam situasi realiti, sentiasa beretika dan berintegriti tinggi, kreatif dan inovatif serta terus komited dalam menyumbang kepada masyarakat setempat, agama dan juga negara.

Turut berangkat ke upacara ini adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man; EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis; Speaker, Dewan Undangan Negeri Perlis, Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan Bahari; Pro-Pro Canselor USM, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Pro-Canselor; Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ M. Jegathesan; dan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Zulkefli A.Hassan; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Adek Bin Hussin dan Naib Canselor USM, Yang Berbahagia Profesor Dato. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Upacara Konvokesyen Ke-59 USM bermula pada hari ini (sidang pertama) di Istana Arau, Perlis, diikuti dengan sidang ke-2 yang akan dilangsungkan pada 21 Mei 2022 hingga sidang ke-12 pada 31 Mei 2022 (11 hari berturut-turut, setiap hari satu sidang) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto : Mohd Fairus Md Isa
Sumber : www.usm.my

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia