KONVENSYEN KEUSAHAWANAN ALUMNI PERKASAKAN AGENDA KEUSAHAWANAN UNIVERSITI AWAM
BACHOK, 26 Mac 2022 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi tuan rumah Konvensyen Keusahawanan Alumni Universiti Awam (KKAUA) bagi mewujudkan jaringan alumni usahawan yang kukuh bagi membantu memperkasakan agenda keusahawanan di UA.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, platform jaringan tersebut penting dalam perkongsian pengalaman dan peluang dalam bidang keusahawanan bersama warga UA.
KKAUA yang berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Mac 2022 lalu dengan penglibatan Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selaku penganjur utama.
Penganjuran KKAUA ini dapat mengetengahkan produk dan perkhidmatan usahawan UA kepada penuntut dan juga masyarakat umum selain memberi peluang kepada peserta untuk memperluaskan jaringan perniagaan sedia ada.
“Sebagai universiti berasaskan keusahawanan, UMK juga mengalu-alukan sebarang program berbentuk pendidikan keusahawanan,” tambah Arham.
Beberapa pusat di Universiti Sains Malaysia iaitu Pusat Pembangunan Alumni (ADC), Pusat Pembangunan Hebat (HEBAT) dan Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan turut menyertai pameran di KKAUA dengan penglibatan tiga usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masing-masing berjaya membuka perniagaan sendiri hasil latihan dan bimbingan dari Unit Transformasi OKU.
Salah seorang usahawan OKU yang turut terlibat di dalam konvensyen ini adalah Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan, seorang usahawan bakeri. Muhamad Farid merupakan OKU Autism yang cekap dalam mengira dan mampu bertutur dengan jelas.
“Muhammad Farid mengikuti kursus di PPSK pada tahun 2016 dan telah berjaya membuka bakeri hasil bantuan dan dorongan dari keluarga dan rakan-rakan lain,” kata ibu Muhammad Farid.
“Muhammad Farid juga amat teliti dalam setiap penyediaan bahan dan proses akhir penyediaan. Jadi, cabarannya apabila kek atau roti tidak menjadi dengan sempurna, dia akan meltdown”, tambahnya lagi.
“Namun, dia telah banyak berubah setelah menyertai kursus di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan telah mula belajar mengawal meltdown.
Muhammad Farid menceburi pembuatan roti, kek dan pelbagai jenis biskut dan kebanyakan proses penyediaan akan disediakan sendiri dan dibantu oleh ibu dan bapanya.
Muhammad Farid juga terlibat dalam Program SENYUM yang melatih OKU Autisme dalam pemprosesan roti serta makanan lain. Hasil daripada jualan ini akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Sesiapa yang ingin menyumbang juga boleh menyalurkan kepada Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan (Akaun Bank Rakyat: 221051598490) atas Program SENYUM.
Selain daripada itu juga, Muhammad Farid juga menerima bantuan kewangan dari MARA dan juga di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seorang lagi OKU, Muhammad Najmi menceburi bidang pertanian dan mengusahakan Nurseri Seri Harmoni bersama ibu bapanya yang menjual anak pokok, baja, biji benih serta lain-lain. Muhammad Najmi yang mengalami masalah intelektual dibesarkan bersama dua adiknya yang juga OKU serta menerima bantuan dari JKM.
Menurut Pengajar PPDK Masliza Yazid, bapa Muhammad Najmi akan membantu beliau dalam penyediaan baja malah mereka juga telah mencipta baja dari darah ayam untuk dikomersialkan.
“Nurseri tersebut turut melatih serta menawarkan pekerjaan kepada OKU yang lain dalam pemprosesan baja”, tambah Masliza.
Selain Muhammad Farid dan Muhammad Najmi, Muhammad Azlan Mat Dom yang lebih dikenali sebagai Abg Lan pula merupakan OKU Down Syndrome dan mengusahakan perniagaan wafel dan jagung.
“Abg Lan akan membantu dalam proses penyediaan manakala proses bancuhan tepung wafel akan dilakukan oleh ibunya” kata Masliza.
Minat Abg Lan dalam perniagaan amat mendalam sehingga beliau berjaya membuka gerai yang diberi nama Abe Lan Corner. Namun, gerai tersebut terbakar baru-baru ini menyebabkan Abg Lan hanya berniaga bila ada program-program seperti konvesyen ini.
Penganjuran Konvensyen Usahawan Alumni ini didokong kuat oleh MALUMNI serta disokong sepenuhnya oleh Pusat Pengurusan Alumni di setiap UA dan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang konvensyen ini adalah pameran dan jualan dari agensi luar dan juga UA.
Turut hadir ke konvensyen ini adalah Profesor Dr. Kamarudin Kana, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS serta Puan Mazula Sabudin, Pendaftar UMK serta Pengarah-pengarah Pusat Alumni Universiti Awam dan juga wakil agensi.
Teks: Syahnaz Riza Sukor & Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal
Suntingan: Nor Rafizah Haji Md Zain
Foto: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)