TNC HEPA LANCAR CHAPTER ALUMNI PPPJJ-ADE@USM & KOLABORASI THE BRICKS
PULAU PINANG, 31 Mei 2022 – Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman hari ini melancarkan Chapter Alumni PPPJJ-Alumni of Distance Education (ADE)@USM yang bakal menjadi perantara antara alumni dan pihak pengurusan universiti dalam merencana pelbagai aktiviti dan program demi memajukan lagi Universiti Sains Malaysia (USM) amnya dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) khasnya.
“Syabas dan tahniah kepada PPPJJ atas usaha menubuhkan Chapter ini dan ianya pasti memberikan manfaat kepada keseluruhan alumni pusat pengajian di samping menjadi medan kepada alumni untuk menyumbang idea, kepakaran, kewangan dan tenaga dalam mencapai matlamat mengekalkan kecemerlangan universiti,” kata Azlinda.
Azlinda melancarkan chapter tersebut dalam Majlis meraikan graduan dan Jamuan Hari Raya PPPJJ yang diadakan sejurus selepas tamat Sidang Kedua Belas, Upacara Konvokesyen ke-59 USM yang menyaksikan seramai 622 graduan PPPJJ tahun 2021 menerima ijazah masing-masing selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Pada majlis yang sama, Azlinda turut melancarkan Kolaborasi The Bricks & PPPJJ iaitu usaha Unit Penjanaan Pendapatan dan Perundingan, PPPJJ dan Pusat Pembangunan Hebat, BHEPA dalam penjanaan pendapatan melalui The Bricks Siswaniaga@USM.
Menurut Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob kedua-dua usaha ini adalah salah satu pencapaian yang membanggakan bagi pusat pengajian, dan ianya tidak terlaksana tanpa penglibatan dan usaha para pelajar, alumni serta warga PPPJJ.
“Saya berharap para graduan dan juga alumni PPPJJ akan terus memberikan sokongan dan membantu dalam meningkatkan kecemerlangan pusat pengajian dan saya menyeru agar usaha ini tidak terhenti hari ini,” tambah Zulnaidi.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada alumni perintis PPPJJ tahun 1982 (yang pada ketika itu dikenali sebagai Pengajian Luar Kampus) USM iaitu Dato’ Ishak Haji Mohamed, atau lebih dikenali sebagai Pak Sako yang turut hadir dan menaja sebahagian jamuan untuk para graduan,” ujar Zulnaidi
“Harapan saya agar para alumni akan terus bekerjasama dengan PPPJJ untuk menganjurkan sebarang aktiviti samada aktiviti kemasyarakatan, sosial mahupun rasmi.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
Foto: Noor Alif Asyraf Amran