LAWATAN PENANDA ARAS PUSAT PEMBANGUNAN PELAJAR (PPP) UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) KE UNIVERSITI SAINS MALAYSIA.
1 September 2022, Universiti Sains Malaysia – Pusat Pembangunan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Perhubungan Alumni UNIMAS mengadakan lawatan Penanda Aras ke Universiti Sains Malaysia (USM).
Delegasi yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Faisal Ali Anwarali Khan, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kemahiran Insaniah dan KoKurikulum, Dr.Idawati Ismail serta Profesor Madya TS Dr. Mohamad Nazim Jambli, Timbalan Pengarah Jabatan Perhubungan Alumni seiring pegawai dan staf dari PPP.
Lawatan berkenaan dimulakan dengan sesi suai kenal yang dimulakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT, Encik Hazlan Abdul Hamid. Turut diketengahkan seusai sesi perkenalan adalah idea-idea program serta tunjang-tunjang bernas mengenai agenda HEBAT yang telah dilaksanakan dari semasa ke semasa. Di samping itu juga, lawatan ke bangunan The Nest turut dilaksanakan sekaligus menjelaskan tujuan penubuhan ruangan tersebut.Secara amnya, The Nest memangkin sifat-sifat kepimpinan korporat dalam diri pelajar sekaligus melatih pelajar dalam kemahiran mengasah komunikasi yang lebih matang ketika sesi perbincangan pelbagai hala dilaksanakan.
Perbincangan diteruskan dengan pembentangan dari wakil Pusat Pembangunan Alumni (PPA), Cik Azmien Ielia Mohd Khairunizan dan Cik Syahnaz Riza mengenai latar belakang PPA dan sesi soal jawab bersama pihak UNIMAS. Program berakhir dengan sesi bergambar dan majlis pemberian cenderamata dari kedua-dua pihak di The Bricks.
Pihak UNIMAS juga turut mengadakan lawatan ke Pusat Rancangan KoKurikulum serta mengadakan perbincangan bersama pihak KoKurikulum dan program 4 hari di Pulau Pinang diakhiri dengan majlis makan alumni bersama alumni UNIMAS di Hotel Royale Chulan yang dihadiri lebih daripada 20 orang alumni sekitar zon Utara.
Lawatan seperti ini diharapkan kekal diadakan masa demi masa agar jalinan antara universiti awam dan institusi yang terlibat dapat dijana, sekaligus memangkin idea-idea bernas dalam memupuk pembentukan sahsiah pelajar ke arah yang lebih holistik.
Teks : Syahnaz Riza Sukor & Mohamad Syukran Abdul Rahman @ Omar
Foto : MPRC