PAUSM TERUS PROAKTIF PERKASA ALUMNI USM

USM PULAU PINANG, 28 Januari 2023 - Inisiatif untuk mengadakan majlis perhimpunan semula atau reunion para alumni Universiti Sains Malaysia (USM) di kampus ini amatlah dialu­alukan. Sekurang­kurangnya, ia dapat mengembalikan kenangan dan nostalgia para alumni di samping menggalakkan alumni untuk kembali ke alma mater mereka.

A9F658EF FEF9 4E22 ABEB E9E90771A804

Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 Persatuan Alumni USM di sini hari ini.

Tambahnya, kepimpinan Persatuan Alumni USM haruslah memikirkan strategi yang berkesan untuk meningkatkan penglibatan para alumni USM dengan aktiviti seumpama ini supaya manfaat kewujudan Persatuan Alumni USM dapat dirasai oleh para alumni secara keseluruhannya.

“Seperti contoh, saya difahamkan Persatuan Alumni USM Sarawak telah bekerjasama dengan Persatuan Alumni USM Induk bagi menjayakan Program “Back To Campus” yang bermula semalam dan akan tamat pada esok. Ini menggambarkan manifestasi bahawa pengalaman yang mereka perolehi semasa bergelar pelajar USM masih kekal tersemat di hati mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pihak Pengurusan Tertinggi USM melihat para alumni Universiti ini sebagai rakan kongsi dan pemegang taruh yang berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada Universiti ini.

“Kebanyakan alumni USM kini berkerjaya di pelbagai segmen industri sama ada di dalam dan di luar negara. Justeru, jaringan atau networking yang sistematik hendaklah diwujudkan bagi membolehkan para alumni membantu meningkatkan daya saing Universiti ini dalam pelbagai lapangan secara berkesan.

“Dalam konteks ini, rasa pemilikan atau sense of belonging yang tinggi terhadap USM sebagai alma mater amatlah penting dan Pihak Pengurusan Tertinggi USM amatlah mengalu­alukan hubungan erat dan sumbangsaran serta buah fikiran daripada para alumni sekalian bagi membangunkan Universiti ini,” katanya di hadapan lebih 50 ahli alumni yang hadir ke mesyuarat hari ini.

Di akhir ucapannya beliau mengaskan bahawa kepimpinan Persatuan Alumni USM haruslah proaktif termasuk turun padang dan menganjurkan aktiviti­yang relevan, bukan sahaja di kalangan ahli Persatuan, tetapi juga yang dapat merapatkan hubungan para alumni dengan alma mater mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni USM Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee pula berkata, persatuan sentiasa melihat para ahli sebagai aset kepada kemajuan Universiti ini.

Tambahnya, persatuan akan terus menjaga kebajikan alumni USM dan bantu menjaga imej dan reputasi mereka.

“Selain itu, USM juga perlu memelihara dan mengekalkan kampus ini sebagai sedia ada kerana para alumni akan pulang ke USM semula dengan mengimbau kenangan lalu dengan adanya perkara tersedia sebagai contoh bangunan dahulu hingga kini masih terpelihara,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Bagi Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Negeri Sarawak, Merangkap Penaung Persatuan Alumni USM Negeri Sarawak Yang Berhormat Encik Mohammad Razi bin Sitam pula, kenangan belajar di USM dahulu amat mengimbau kenangan dan menjadi sesuatu yang amat bermakna dalam hidup.

Beliau yang merupakan alumni Pusat Pengajian Komunikasi tahun 1997 juga turut berhajat untuk membantu PAUSM dengan memberikan sumbangan peribadi untuk pembangunan persatuan serta alumni.

Turut hadir sama adalah Ahli Lembaga Gabenor USM Encik Noor Azam Mohd Noor; Presiden Persatuan Alumni USM Sarawak Tuan Haji Hafisz Rachman bin Drahman; dan Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni (PPA) Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM Puan Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohamad Zaidi Jaini
Sumber: Universiti Sains Malaysia

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia