ALUMNI USM DILANTIK SEBAGAI KETUA PENGARAH JPA BAHARU
USM PULAU PINANG, 27 Februari 2023 – Alumni Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) 1989, Dato' Dr. Zulkapli bin Mohamed, 58 tahun, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa pada 27 Februari 2023.
Hal ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd. Zuki bin Ali dalam satu kenyataan hari ini.
Perlantikan ini dibuat setelah mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Dato' Dr. Zulkapli juga memiliki ljazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan ljazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.
Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 31 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Disember 1992.
Menurut Tan Sri Dato' Seri Mohd. Zuki, pelantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan modal insan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp), dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.
Ketua Setiausaha Negara yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimilikinya, Dato' Dr. Zulkapli mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato' Dr. Zulkapli bin Mohamed di atas pelantikan ini.
Teks: Mohamad Abdullah/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
Sumber: Universiti Sains Malaysia