BERAMBEH SISWA USM DAN ALUMNI

DEBAK, 12 Mac- Program Mahasiswa/Mahasiswi Berambeh Ke Debak anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Debak serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah diadakan selama 4 hari 3 malam melabuhkan tirainya dengan mengadakan Majlis Tautan Kasih.

BERITA3A

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Encik Mohammad Razi Sitam alumni Komunikasi 1997 yang juga merupakan Penaung Persatuan Alumni USM Sarawak (PaUSM) Sarawak di Dewan Millennia, Debak.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohammad Razi menjelaskan selain untuk memberikan galakkan kepada mahasiswa dan mahasiswi terlibat dalam aktiviti sukarelawan, program ini juga dapat memupuk semangat kerja sebagai satu pasukan serta menerapkan nilai integriti di kalangan mahasiswa/i bersama masyarakat setempat.

BERITA3B

Justeru, sebagai alumni USM, beliau berharap agar program seumpama ini diteruskan sebagai ruang kepada mahasiswa/i untuk berkongsi ilmu antara mahasiswa/i USM serta para pelajar sekolah di Kampung Debak agar memupuk semangat para pelajar menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya di USM.

Program ini turut memberikan pengisian program anak angkat kepada penduduk kampung sekitar Debak seperti Kampung Dit, Kampung Debak Laut, Kampung Babu Hulu dan lain-lain lagi.

Ia turut diserikan dengan persembahan daripada Mahasiswa/Mahasiswi USM serta persembahan oleh penduduk di Kampung Debak.

BERITA3C

Program ini turut dianjurkan bersama BHEPA Kampus Kejuruteraan, Persatuan Alumni USM Sarawak (PaUSM) Sarawak dan Persatuan Alumni USM (PAUSM).

Teks dan foto:Syahnaz Riza Sukor

Suntingan:Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia