PUSAT ISLAM USM TERIMA SUMBANGAN DARI ALUMNI USM, KEMBALI MENYUMBANG DI ALMA MATER

USM PULAU PINANG, 15 April 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Islam USM petang ini telah menganjurkan program Iftar bersama Alumni USM di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM.

Program Iftar yang dihadiri lebih 50 alumni itu bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka menggamit memori berbuka puasa di kampus pada suatu ketika dahulu.

Alumni1

Diselitkan dalam program adalah penyerahan replika cek bernilai RM15,150, sumbangan para alumni kepada Pusat Islam USM yang disampaikan oleh ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Noor Azam Mohd Noor kepada wakil Pusat Islam USM, Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Alumni2

Menurut Azlinda dalam ucapannya, beliau amat mengalu-alukan kedatangan para alumni bersama keluarga untuk berbuka puasa di kampus dengan sokongan Noor Azam yang juga merupakan alumni USM, Sarjana Muda Sains Gunaan tahun 1983.

Alumni3

“Bagi pihak USM, saya mengucapkan terima kasih kepada para alumni kerana memberikan sumbangan infak kepada Pusat Islam USM dan beliau berharap agar sumbangan dan silaturahim dapat berkekalan dari semasa ke semasa,” kata Azlinda.

Alumni4

Azlinda juga berkata beliau mengalu-alukan perbincangan terbuka antara pihak alumni bersama universiti demi membantu memanfaatkan dan meningkatkan pencapaian universiti. 

Alumni5

Turut diselitkan adalah sesi perkongsian oleh alumni USM iaitu Ketua Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mazwan Noor yang berkongsi sedikit pengalamannya ketika menjadi pelajar USM.

Alumni6

Beliau turut mengambil keberkatan bulan yang mulia ini dengan menaja rempah ratus kepada pihak Masjid Al-Malik Khalid untuk penyediaan juadah berbuka sepanjang bulan Ramadhan.

Alumni7

Turut hadir ialah Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni (ADC) USM, Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Nor Amin Zainal Kamarudin

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia