PAKAR BEDAH NEURO USM TERIMA ANUGERAH PELATIH BERPRESTIJ M BALASEGARAM TRAINER AWARD

WhatsApp-Image-2023-08-28-at-13.14.25-696x522.jpeg

USM PULAU PINANG, 30 Ogos 2023 – Pakar Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Dato Abdullah telah dipilih sebagai penerima anugerah M Balasegaram Trainer Award yang ke-5, sempena majlis sambutan Ulangtahun Jubli Emas, Kongres Saintifik Tahunan (ASC) yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur. Anugerah telah disampaikan oleh Master Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Profesor Dr. Rosmawati Mohamed. Turut hadir ialah Presiden, Kolej Pakar Bedah Malaysia, Dr. Siow Sze Li. Jafri Malin ialah seorang Profesor bidang Neurosains di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM/Hospital USM. Beliau juga merupakan Pengerusi Kluster Penyelidikan Brain Behaviour di USM.

Sehingga kini, beliau telah berjaya melatih seramai 121 pakar bedah neuro Malaysia, yang mana pencapaian mereka diiktiraf dalam kalangan terbaik di dunia setaraf dengan yang dihasilkan dari Korea Selatan selain mengatasi pencapaian pakar bedah dari USA, Kanada dan Jepun. Selain Jafri Malin, seorang lagi penerima anugerah ialah Dr. Clarence Lei (pakar urologi). Kedua-dua penerima tersebut meneruskan kecemerlangan barisan penerima anugerah dalam kalangan pengamal perubatan/akademik yang telah dipilih berdasarkan sumbangan dalam bidang masing-masing. Penerima-penerima terdahulu adalah Profesor Dato’ Dr. Kandasami (2017), Dato’ Dr. Prabir Ranjan Sengupta (2018), Profesor Emerita Freda Meah (2019), serta Dato’ Dr. Ragupathy Naidu dan Dato’ Dr. K. Somasundaram (2021).

Anugerah itu diberikan kepada individu yang layak sebagai satu bentuk penghargaan bagi memperingati mendiang Dato’ Dr. M Balasegaram, salah seorang doktor yang disanjung tinggi di Malaysia. Lebih dikenali sebagai Dr. ‘Bala’, beliau adalah individu Asia pertama diberi penghargaan oleh ‘Royal College of Surgeons of England’ untuk menerima anugerah ‘Hunterian Professorship’ (1969) dan juga individu Asia pertama dianugerahkan ‘Jacksonian Prize’ (1971), anugerah tertinggi dalam bidang pembedahan. Selain itu, beliau juga telah menerima penghormatan dari ‘Royal College of Surgeons’ di Ireland dan ‘Royal College of Surgeons’ di Edinburgh, Scotland – melalui Syarahan ‘Abraham Colles’ dan Syarahan Peringatan ‘Chienne’. Dr. Bala juga merupakan Ketua Pakar Bedah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di antara tahun 1960an – 1970an. Beliau telah melahirkan ramai pakar bedah terkemuka negara dan amat dikenali dengan usaha perintis berkaitan pembedahan hati. Dr. Bala akan terus diingati sebagai seorang guru yang hebat sebagai individu contoh dan juga seorang doktor yang telah banyak menyumbang demi kemajuan profesionnya dan negara.

Anugerah pelatih itu boleh diberi kepada seorang individu tanpa mengira kenegaraan dan dalam pelbagai bidang pembedahan, termasuk penyelidikan. Pada masa yang sama, individu tersebut telah menyumbang kepada bidang pendidikan dan latihan pakar bedah di Malaysia. Secara maksimum, dua anugerah boleh diberi setiap tahun. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kolej Pakar Bedah (CS), AMM. AMM adalah pertubuhan profesional dan pendidikan bagi para doktor di Malaysia. Diasaskan pada tahun 1966, AMM yang terletak di Kuala Lumpur menerima keahliannya daripada mereka dengan pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan. Program ini telah dianjurkan oleh AMM dengan kerjasama Malaysian Association of Paediatric Surgery, Malaysian Society of Hepato-Pancraeto-Biliary Surgeons dan Malaysian Upper Gastrointestinal Surgical Society.

Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Dato Abdullah merupakan alumni USM dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan menamatkan pengajian pada tahun 1986.

Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia