DATO’ SRI IDRIS JALA KONGSI SUDUT PANDANG PEMIMPIN, IMBAS KENANGAN DI USM
USM PULAU PINANG, 30 November 2023 – Pengerusi dan Presiden Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Dato’ Sri Idris Jala petang ini telah berkongsi pengalaman beliau dalam sesi rakaman Alumni Insight di Purple@USM. Idris juga turut meluangkan masa di sesi Hi-Tea bersama pihak Pusat Pembangunan Alumni (ADC) dan warga kerja BHEPA di The Bricks, USM.
Majlis yang dianjurkan oleh ADC itu adalah bagi mengalu-alukan kedatangan Idris ke USM selain mendapatkan perkembangan semasa beliau. Idris merupakan alumni USM yang aktif menyumbangkan ilmu serta bakat beliau. Selain itu, beliau turut melawat Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM iaitu pusat pengajian alma mater beliau, yang mana beliau disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai oleh Dekan PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; serta warga kerja PPSK. Idris merupakan Alumni Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM tahun 1982. Beliau dibawa melawat dewan-dewan kuliah di sekitar PPSK yang pernah menjadi tempat belajarnya dahulu. Ketika lawatannya, Dekan PPSK memberi taklimat tentang perkembangan terkini pusat pengajian.
Idris kemudiannya dibawa melawat ke tempat-tempat nostalgia seperti VC Rock, Bangunan H20 dan H21 (yang dahulunya merupakan Desasiswa Cahaya), seterusnya ke Purple untuk sesi rakaman dan akhirnya ke The Bricks. Menurut Idris, USM akan sentiasa menjadi kenangan terindah kerana di sinilah beliau berjumpa dengan isteri beliau, Datin Sri Pang Ngan Yue yang juga merupakan alumni USM, graduan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan tahun1984. Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Kelestarian Institusi, yang juga menjalankan fungsi TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dr. Azlan Amran; mantan Pengarah Alumni, Profesor Madya Mohamed Talhah Idrus, pegawai-pegawai USM daripada HEPA, Pusat Media dan Perhubungan Awam serta PPSK.
Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal, Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni (ADC USM)
Foto: Muhammad Fikri, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA
(ID)