MENYUMBANG SAMBIL BERAMAL, ALUMNI USM RAIKAN PELAJAR DI MAJLIS RINGKAS TETAPI PENUH BERMAKNA

1
USM PULAU PINANG, 2 Februari 2024: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) melalui Unit Kebajikan Pelajar & OKU dengan kerjasama Pusat Pembangunan Alumni (ADC) Universiti Sains Malaysia (USM) dan rakan-rakan telah menjayakan Majlis Pemberian Khas Wang Ehsan kepada pelajar USM pada petang tadi bertempat di Lantai Seni, KOMCA.
 
Sumbangan khas tersebut telah berjaya diagihkan bagi meraikan pelajar-pelajar USM yang memerlukan. Majlis ini telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.
 
2
 
Dalam ucapannya, Narimah berkata beliau amat berbesar hati di atas inisiatif ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para alumni USM dan rakan-rakan yang menyumbang kembali kepada universiti dengan memberi bantuan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.
 
3
 
Dalam pada itu, dermawan alumni USM mengambil kesempatan berkongsi pengalaman dan motivasi kepada semua pelajar untuk sentiasa meningkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, ilmu kepimpinan, penyelesaian masalah dalam membuat keputusan yang menjadi medium terbaik untuk maju ke hadapan serta mampu menempatkan diri apabila berada di alam pekerjaan kelak.
 
Mereka juga turut berpesan kepada pelajar selain berusaha, para pelajar perlu mengingati kedua ibu bapa dan mendapatkan redha mereka bagi memberkati perjuangan pengajian ini.
 
Semoga inisiatif ini mampu memberi kesan positif buat pelajar dan seiring menepati misi dan visi USM iaitu memastikan golongan terkebawah sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
 
Majlis disudahi dengan jamuan ringan dan sesi santai antara alumni dan pelajar. Turut hadir ke majlis ini adalah Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU, Puan Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal, Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni (ADC), dan warga BHEPA.
 
Teks : Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal, Pusat Pembangunan Alumni (ADC), BHEPA
Foto : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA
Sumber: BHEPA USM

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia