TYT MELAKA HADIR KE MAJLIS MALAM GEMILANG ALUMNI DAN INDUSTRI USM 2024, CIPTA JARINGAN KUKUH BERSIFAT PROFESIONAL
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2024 :- Majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri Universiti Sains Malaysia yang diadakan di World Trade Centre ini merupakan anjuran secara bersama antara Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat dengan kerjasama Persatuan Alumni USM yang direncana khas bagi memberi penghargaan kepada Alumni dan rakan strategik USM dari industri yang telah memberikan sumbangan dalam pelbagai aspek serta mengharumkan nama USM sepanjang tahun 2024.
Bertemakan From Campus to the World : 55 years of Inspiring Sustainability, penganjuran Majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri yang dihadiri seramai 400 jemputan ini adalah satu idea yang sangat baik untuk mengukuhkan hubungan antara alumni dan dunia profesional yang bukan saja memberi manfaat kepada alumni tetapi juga kepada universiti dan industri.
Majlis disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan turut dihadiri oleh isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Binti Ab Rahman, YBhg. Dato’ Seri Awang Adek Hussin, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Persatuan Alumni USM, Ahli-ahli LGU USM, Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, pegawai-pegawai BHEPA & BJIM dan tetamu kenamaan lain.
Tun Haji Mohd Ali dalam ucapannya berkata alumni adalah tulang belakang kepada kemajuan setiap institusi pendidikan. Kita semua sangat bangga melihat kejayaan setiap alumni USM dalam pelbagai bidang, baik di dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa. Kejayaan anda semua adalah bukti kepada kejayaan pendidikan di USM yang sentiasa menghasilkan pemimpin-pemimpin yang hebat, mampan dan berjiwa besar untuk menyumbang semula ke arah pembangunan negara tercinta ini.
Tambahnya lagi, beliau menyeru agar kita turut sama membantu menjadikan sistem pendidikan lebih relevan dengan keperluan industri semasa dan memastikan mahasiswa USM memperoleh pengetahuan yang boleh mereka gunakan secara langsung di tempat kerja.
Abdul Rahman dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kerana berjaya merealisasikan impian dalam menyatukan dua pemegang taruh yang sangat penting kepada sebuah institusi pendidikan. Alumni dan Industri adalah pemangkin kepada kejayaan sesebuah institusi terutamanya USM yang mempunyai kira-kira 200,000 alumni di serata negara dan di lebih 70 buah negara di dunia. Mohamed Maliki dalam ucapannya turut berasa amat bertuah dan berbangga dapat berada dalam kalangan semua alumni pada malam yang bersejarah ini yang menjadi lambang kepada ikatan yang tidak pernah terputus walaupun telah sekian lama meninggalkan ‘Menara Ilmu’ yang dicintai.
Dalam majlis tersebut, penyerahan sumbangan khas USM kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima berjumlah RM20,000 turut disampaikan sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin.Dalam majlis yang sama, dua kategori anugerah telah disampaikan iaitu Kategori Anugerah Alumni Perdana yang disandang oleh Toh Indera Jaya Dato’ Ishak Bin Haji Mohamed dan Kategori Anugerah Alumni Muda Harapan disandang oleh Encik Khairul Hafez Bin Yunus@Hamid. Turut menerima hadiah penghargaan mantan presiden adalah YBhg. Puan Sri Fauziah Shahrom dan Tuan Haji Mohd Aziz Ismaon manakala 15 orang penerima hadiah penghargaan turut disampaikan kepada pihak industri, para pemberi dana termasuk kementerian, agensi kerajaan, yayasan, dan badan bukan kerajaan yang telah menjadi rakan strategik USM.