LAWATAN PENANDA ARAS PUSAT PEMBANGUNAN ALUMNI (USM) KE PUSAT ALUMNI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) DAN MAJLIS HI-TEA ALUMNI USM ZON UTARA
SINTOK 27 APRIL 2025 – Pusat Pembangunan Alumni (ADC) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mendapatkan perkongsian berkenaan struktur dan fungsi Pusat Alumni serta pengurusan kewangan dan pengurusan data.
Pengarah Pusat Alumni UUM Prof. Madya. Dr. Lily Julenti Abu Bakar dan Puan Amelia Hakimi telah menyambut delegasi ADC dengan sesi pembentangan pelan tindakan serta aktiviti tahun 2024 serta pencapaian terdahulu. Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni, Encik Ahmad Wafi Sahedan turut berkongsi berkenaan pengurusan serta program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2024.
Pelbagai isu yang dibangkitkan termasuklah 1 Alumni 1 Ringgit yang telah diperkenalkan oleh Pusat Alumni UUM bagi menarik minat para alumni untuk menyumbang semula kepada alma mater.
Lanjutan itu pihak ADC telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Alumni USM Zon Utara di Hotel EDC, UUM Sintok. Majlis ini telah dihadiri oleh Alumni USM yang sedang berkhidmat di UUM dan UNIMAP dan pihak ADC yang diketuai oleh Encik Ahmad Wafi telah membentangkan tentang beberapa perkara mengenai fungsi Pusat Pembangunan Alumni yang dikenali sebagai ADC. Para alumni yang hadir juga menerima cenderahati dari pihak ADC sebagai tanda kenangan serta penghargaan.
Diharapkan dengan adanya program dan aktiviti seperti ini dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama stratergik dan ilmu pengetahuan yang lebih meluas serta dapat berkongsi pengalaman sesuai dengan visi dan misi USM.