USM PERKUKUH JALINAN ALUMNI-KOMUNITI MELALUI LUNCHEON ZON TIMUR 2025

Gambang, 22 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pembangunan Alumni (ADC) telah menganjurkan Luncheon Alumni Zon Timur 2025 bertempat di Dewan Bankuet, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik bersama alumni di rantau Pantai Timur.
 
Program ini menghimpunkan seramai 50 orang alumni USM daripada pelbagai latar belakang kerjaya seperti pensyarah, penjawat awam, jurutera dan pengamal industri. Majlis santai ini menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, memperkasa jaringan dan menyemai semula semangat kecintaan terhadap alma mater.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha, Encik Ahmad Wafi Sahedan, Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni USM, yang menyampaikan ucapan aluan mewakili pihak USM. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua alumni atas kehadiran dan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan universiti.
Majlis ini turut disokong oleh kehadiran Yang Berusaha, Ts. Dr. Azri Alias, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, yang hadir sebagai tetamu jemputan bagi menunjukkan komitmen antara institusi dalam memperkukuh jaringan alumni nasional.
 
Selain itu, sesi perkongsian turut diadakan oleh Encik Muhamad Amirul Haizad Mohd Zaini, Ketua Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, yang memperkenalkan beberapa inisiatif komuniti yang sedang dilaksanakan oleh USM. Perkongsian ini memberi pendedahan kepada alumni tentang peluang untuk turut menyumbang dalam agenda pembangunan masyarakat melalui kerjasama bersama universiti.
 
Sebagai sebuah Universiti APEX, USM komited untuk terus mengukuhkan keterlibatan alumni dalam menyokong agenda pendidikan dan komuniti secara lestari, selari dengan nilai Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 17 – Perkongsian untuk Matlamat.
Luncheon1
 

Luncheon2

Luncheon4
 

Luncheon3

Luncheon5

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia