KUNJUNGAN HORMAT DAN PEMBENTANGAN PROGRAM USM DI PAHANG KEPADA YAB MENTERI BESAR PAHANG, ALUMNI USM
Pusat Pembangunan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) telah berbesar hati mengadakan kunjungan hormat dan sesi pembentangan program USM di Negeri Pahang kepada YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap alumni USM.
Kunjungan ini bertujuan untuk mempersembahkan inisiatif serta hala tuju strategik program-program melibatkan USM di Pahang, khususnya yang memberi manfaat kepada komuniti, pembangunan modal insan dan pengukuhan jaringan alumni. Delegasi USM telah diketuai oleh barisan pengurusan kanan Pusat Pembangunan Alumni USM serta pegawai-pegawai terlibat dalam pelaksanaan program komuniti dan alumni di negeri ini.
Dalam sesi yang penuh muhibah dan konstruktif ini, YAB Menteri Besar menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian USM sebagai institusi terkemuka negara serta menyambut baik usaha-usaha murni yang dirancang. Beliau turut berkongsi pandangan dan aspirasi beliau sebagai alumni dalam memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan negeri, terutamanya melalui penglibatan aktif alumni dalam pelbagai sektor.
USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy atas kesudian menerima kunjungan hormat ini serta atas sokongan beliau terhadap inisiatif yang dijalankan. Semoga hubungan strategik ini terus diperkukuh demi kemajuan universiti, negeri dan negara secara keseluruhannya.