CAMPUS WALK PERKUKUH PENGALAMAN AWAL PELAJAR BAHARU DI USM

USM, PULAU PINANG, 1 Oktober 2025 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dengan kerjasama Kampus Sejahtera serta Jabatan Keselamatan telah menganjurkan program ‘Campus Walk’ semalam, khusus buat pelajar baharu Sidang Akademik 2025/2026. Program ini bertujuan memperkenalkan para pelajar dengan persekitaran kampus, lokasi pengajian dan tempat tumpuan utama di Universiti Sains Malaysia (USM).
 
Dengan penyertaan lebih daripada 1,000 pelajar dari Desasiswa Aman Damai, Tekun serta Cahaya Gemilang Harapan, perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar baharu untuk mengenali fasiliti, landskap dan budaya kehidupan universiti dengan lebih dekat, malah berfungsi sebagai aktiviti orientasi yang menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan sesama warga kampus.
 
Penganjuran Campus Walk ini mencerminkan komitmen USM dalam menyediakan pengalaman awal yang positif kepada pelajar baharu, di samping memperkukuh identiti universiti sebagai kampus hijau dan lestari. Diharapkan, program seumpama ini bukan sahaja membantu pelajar menyesuaikan diri dengan lebih pantas, malah meninggalkan kenangan bermakna yang menyemarakkan semangat mereka untuk memulakan perjalanan akademik di universiti berstatus APEX ini.
 
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA
 
cw1
 
cw2
 
cw3
 

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia