Bicara Alumni Bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Perkukuh Jalinan USM
USM, PULAU PINANG, 1 November 2025-Bicara Alumni Bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Perkukuh Jalinan USM dan Alumni
Program Bicara Alumni bersama Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi platform bermakna yang menghubungkan alumni dan universiti, sambil memberi pendedahan kepada pelajar tentang realiti dunia pekerjaan, kemahiran insaniah serta hala tuju selepas graduasi.
Dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Alumni, BHEPA USM dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) USM, program ini menampilkan YAB Tuan Chow Kon Yeow sebagai tetamu kehormat juga alumni USM di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA).
Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang menzahirkan penghargaan atas kehadiran YAB Ketua Menteri serta menekankan peranan alumni sebagai inspirasi kepada mahasiswa.
Sesi forum turut menampilkan YB Puan Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera), Encik Mohd Faiz Azmi (Perbadanan Pulau Pinang) dan Encik Ahmad Fedtri Yahya selaku moderator.
Dalam perkongsiannya, YAB Chow Kon Yeow menekankan pentingnya keberanian mencuba dan berpegang pada integriti dalam mengejar kejayaan. Para panelis turut berkongsi pengalaman universiti yang membentuk jati diri, disiplin dan semangat juang.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan alumni dan universiti, tetapi turut membina semangat kekitaan serta kebanggaan sebagai sebahagian daripada keluarga besar USM.
USM terus komited memperkukuh jaringan alumni yang berdaya saing, berintegriti dan berperanan aktif menyokong aspirasi universiti.


