ALUMNI USM SALUR SUMBANGAN BANTU PELAJAR SEPANJANG PKP

Thank you Alumni poster

USM PULAU PINANG, 26 Mac 2020 – Pusat Pembangunan Alumni dan Persatuan Alumni USM hari ini telah menyerahkan cek yang berjumlah RM32,000 kepada Universiti Sains Malaysia (USM). Kempen sumbangan ini merupakan satu inisiatif untuk membantu pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

"Sumbangan ikhlas ini adalah daripada para alumni dari seluruh negara dan ia amat bermakna kepada pelajar yang tinggal di universiti dan tidak boleh keluar dalam tempoh ini, di samping mengubati rasa bersendirian dan berjauhan daripada keluarga serta orang tersayang,” kata wakil Pusat Pembangunan Alumni dalam satu kenyataan hari ini.
 
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada para alumni USM yang amat prihatin di saat getir ini dan menyalurkan sumbangan tidak terhingga ini.
 
Sumbangan ini telah diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Aldrin Abdullah untuk disalurkan kepada tabung bantuan makanan pelajar USM.
 
Sumbangan ini akan diteruskan sehingga 30 Mac 2020 diikuti sumbangan kedua yang akan diberikan pada 31 Mac 2020, dan diharapkan bantuan daripada para alumni dan orang ramai akan dapat membantu keperluan serta kebajikan pelajar. Data menunjukkan USM mempunyai lebih kurang 3,000 pelajar yang berada di dalam kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini di kesemua kampusnya.
Kerajaan melanjutkan PKP terkini sehingga 14 April 2020 bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dan sepanjang tempoh itu, orang awam tidak dibenarkan keluar tanpa sebab yang kukuh.
Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia