WARGA PPKM BANTU HASILKAN PPE UNTK COVID 19
NIBONG TEBAL: Pensyarah, staf, alumni serta pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) Universiti Sains Malaysia (USM) membantu barisan hadapan COVID-19 dengan penghasilan beberapa inovasi Peralatan Perlindungan Diri (PPE). Kelengkapan PPE yang dihasilkan adalah termasuk pelindung muka (face shield), 'isolation pod', 'automated breathing unit' sebagai ventilator serta cadangan sistem penyejukan (cooling system) untuk pengguna yang terdedah kepada kepanasan untuk jangka masa panjang.
Dekan PPKM, Profesor Madya Dr. Jamaluddin Bin Abdullah yang juga ketua projek berkata kumpulan tersebut telah mula menghasilkan PPE sejak 25 Mac yang lepas dan sehingga kini, sebanyak 300 face shield telah diagihkan kepada Pusat Sejahtera USM, Hospital USM dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Tanbahnya lagi, idea menghasilkan PPE untuk petugas perubatan timbul selepas mengetahui ramai petugas barisan hadapan kekurangan PPE untuk kegunaan mereka.
Meskipun terikat dengan jadual kuliah dalam talian, beliau dan rakan-rakannya tetap berusaha membahagikan masa malah sanggup mengerah keringat memotong serta mengukur material khas untuk menghasilkan PPE di bengkel PPKM setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.
Jamaluddin berkata pelindung muka ini telah dihasilkan dengan kerjasama calon Doktor Falsafah PPKM iaitu Kamarul Aizat Abdul Khalid yang juga pemilik satu syarikat tempatan, ReKA Resources serta para pelajar yang berada di kampus. PPKM juga dalam proses menghasilkan isopod, ventilator untuk pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan serta sistem penyejukan untuk pengguna PPE. Penghasilan alatan penting itu adalah dengan kerjasama pakar-pakar perubatan di Hospital USM yang juga merupakan antara tunggak barisan hadapan di hospital berkenaan.
Selain pensyarah, staf dan pelajar, alumni PPKM juga terlibat dalam projek ini termasuk Ruthrakumar Munnian (B. Eng. 2019), Lee Yang Yang (B. Eng. 2016), Mark Selvan (B.Eng. 2017), Muhammad Aqil Azman (B.Eng. 2017), dan Kesava Raj (B.Eng. 2019) yang kini bekerja di beberap syarikat MNC di sekitar Pulau Pinang.
Mereka tampil menyumbangkan kepakaran dan pengalaman mereka sebagai jurutera di industri.
"Kerjasama para alumni dengan pelajar dan kemudahan yang tersedia, PPE yang telah siap akan lebih cepat diagihkan kepada para petugas yang memerlukan. Rekabentuk dan penghasilan alatan berteknologi tinggi seperti isolation pod dan ventilator dalam masa yang singkat dan getir ketika ini memerlukan kepakaran rentas bidang kejuruteraan dan pakar perubatan barisan hadapan," katanya.
Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal