TIMBALAN MENTERI LAWAT TEMPAT PENGINAPAN

YB1YB3YB2

USM PULAU PINANG, 26 Jun 2020 – Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad mengadakan lawatan ke Desasiswa Harapan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi tempat penginapan beliau semasa menuntut di sini sekitar 18 tahun yang lalu.

Ahmad Masrizal adalah alumni USM yang bergraduasi pada tahun 1996 dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan. Beliau juga adalah mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi Sidang Akademik 1995/1996.

“Banyak kenangan saya di sini, saya telah berada di Desa ini sepanjang empat tahun pengajian saya,” kata Ahmad Masrizal ketika lawatan tersebut yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM (BHEPA), Profesor Dr. Aldrin Abdullah.

Selain lawatan tersebut, BHEPA turut mengadakan majlis santai di tempat yang sama serta mendaftarkan diri beliau untuk menjadi ahli seumur hidup Persatuan Alumni USM (PAUSM) bernombor 18686. Pada masa yang sama beliau telah diberikan kad keahlian oleh Timbalan Presiden PAUSM, Dato’ Taizoon Hyder Tyebkhan dan juga Buletin Alumni yang diterbitkan oleh Pusat Pembangunan Alumni (PPA) BHEPA.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Dr. K. Nagulendran yang juga alumni USM yang bergraduasi dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains pada tahun 1994, TNC Penyelidikan & Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria  

Semasa lawatan tersebut, Ahmad Masrizal turut dibawa melawat ECO Hub USM serta menanam anak pokok simbolik pelancaran Program Sinergi Hijau Melestarikan Alam Sekitar dan Kampus Hijau di kampus USM.

Teks: Syahnaz Riza Sukor/ Foto: Ebrahim Abdul Manan

© 2020 - Alumni Development Centre. Universiti Sains Malaysia